Hari ini aku ziarahi setiap inci Mutiara Hitam, dan aku telah perasan sesuatu. Entri aku sejak akhir-akhir ini banyak berbau emosi. Sedih pula rasanya. Seolah-olah mutiara hitam sekadar tempat aku melampiaskan emosi semata. Jika ini berterusan, mutiara hitam akan hilang kemilaunya. Tenggelam jauh di perut laut. Hilang.
Tinggalkan emosi, mari aku kongsikan obsesi aku pula.
Aku obses pada dua perkara, iaitu membaca dan memasak.
Sejak kecil aku minat membaca. Berikan aku apa sahaja, malah kotak makanan juga menjadi sambaran aku. Seingat aku, buku pertama yang membuat aku jatuh cinta untuk terus membaca adalah ‘kisah nelayan dan ikan besar’. Peribahasa pertama yang aku belajar menerusi buku itu adalah, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Puas aku mengikut punggung mama, meminta mama menerangkan maksudnya. Berpuas hati dengan penerangan yang diberikan mama, aku kembali membaca buku itu, berulang kali. Hancur buku itu diselak aku.
Aku semakin gemar membaca, dan mula berkongsi dengan rakan-rakan. Masih aku ingat, ada seorang temanku, Syafiqah namanya (kamu di mana ya? lebih sepuluh tahun tidak ketemu). Seringkali dia meminta aku untuk bercerita kepadanya. Rupa-rupanya, hal ini sampai ke pengetahuan mama. Suatu hari, mama membawa pulang sebuah lagi buku.
‘Nah, kaklong ambil ini. Hafal ya. Mama nak kaklong masuk bertanding.’
Aku ternganga. Bertanding?. Aku dipagut kerisauan. Aku tidak pernah sekalipun menyaksikan pertandingan bercerita. Aku menjadi panik. Mama menenangkan aku. ‘Jangan risau’, kata mama. Mama mengajarkan aku segala teknik dan strategi memancing hati pengadil.
Tiba hari pertandingan, segalanya berjalan lancar seperti yang telah mama ajarkan, dan akhirnya, aku menang. Tetapi aku tidak ingat aku menang tempat ke berapa. Aku seolah-olah hanyut, sewaktu nama aku diumumkan. Aku segera naik ke pentas menerima hadiah yang berbalut dengan kertas minyak.
Sebaik sahaja aku turun dari pentas. Ada seorang budak lelaki berlari-lari menuju ke arah aku. Menghulurkan aku, hadiah yang berada ditangannya. Sambil tangannya menarik hadiah yang ada ditangan aku. ‘Hadiah kita tertukar, ini nama kamu’, kata budak lelaki itu. Aku kaget disitu, membiarkan sahaja perbuatan budak lelaki itu, sambil mata merenung nama aku yang ditulis kecil dengan pensil di suatu sudut. Tanpa aku sedar, mama memelukku dari belakang, mengucapkan tahniah.
Sejak itu, aku sering menjadi penglipur lara, tetapi aku tidak sempat pergi jauh. Aku kecundang di peringkat daerah. Sekadar memegang rekod tempat kedua. Selepas itu, aku tidak boleh lagi masuk pertandingan bercerita, kerana aku sudah terlebih umur, aku telah berada di tahap dua sekolah rendah. Terlalu tua untuk masuk kategori
Namun minat aku membaca kekal sehingga ke hari ini. Jikalau novel atau buku sudah berada dalam tangan, akan aku cempung ke mana sahaja. Pantang ada masa terluang, akan aku selak meneruskan bacaan. Aku seakan-akan tenggelam ke alam lain.
Kini, minat aku berubah rupa. Tidak sekadar hanya membaca lagi, malah berkembang kepada membuat koleksi. Koleksi aku kian bertambah pada dasarnya. Tetapi, banyak juga yang hilangnya. Diberi pinjam kemudiannya isytihar seperti kepunyaan sendiri. Sudah kekuningan helaian buku bertompokan entah kotoran apa, baru sahaja teringat hendak dipulangkan. Aku paling pantang, jika orang yang meminjam buku aku, malas menggunakan penanda buku, dan melipat hujung helaian buku aku. Urghhh..geram rasanya.
Pulang ke rumah, cuti semester lepas. Aku penasaran melihatkan bilangan buku aku yang hilang dari rak. Segera aku menyoal siasat adik-adikku dirumah. Ada yang Kakngah angkut ke asrama, ada yang abang angkut ke asrama dan ada saudara mara yang jarang-jarang bertandang turut meminjam. Masa bila sahaja agaknya buku aku itu akan dipulangkan ya? T_T
Tetapi sejak aku disini. aku tidak boleh lagi nak mencempung buku sedemikian rupa. Masa senggang tidak sebanyak dahulu. Beban belajar bertambah, malah beban itu sama beratnya dengan buku-buku itu. Hendak diangkut buku teks ke sana ke mari, memang tidak berdaya
Bacaan ringan kini hanya dapat aku lakukan setiap kali sebelum aku tidur, sehinggakan aku tertidur bersamanya.
Kian aku meningkat dewasa,obsesi aku pada memasak pula bercambah. Entah sejak bila aku tidak sedar. Seingat aku, sejak aku berusia lapan ke sembilan tahun, mama telah jinak-jinakkan aku di dunia dapur. Ada sahaja yang mama minta aku lakukan. Bermula dengan menyuruh aku mengambil rempah dan bawang. Kemudian meminta aku mengupas bawang, dan semakin lama kerja-kerja aku bertambah. Sebenarnya sering sahaja aku lari. Siap sahaja bawang dipotong, aku lari tercongok di depan televisyen. Siap sahaja aku menumbuk lada, aku berlari-lari mendapatkan kawan di muka pagar rumah. Kemudian pasti terdengar, ‘kaklonggggg… lari dah dia!’, jerit suara mama dari dapur.
Berkat dari situlah aku boleh memasak sekarang ini. Setiap kali berada di dapur, mama akan bertanya sama ada aku tahu atau tidak memasak itu dan ini. Macam kelas teori memasak pula rasanya. Setiap kali kami duduk-duduk memasak di dapur, mama akan ulang ayat yang sama.
‘Nasib baik mama ajar masuk dapur sejak dari kecil lagi, sedap tak sedap itu lain kiralah kan. Tetapi orang perempuan kalau tak pandai memasak, canggung betul melihatnya. Tinggi mana pun ilmu didada, air tangan isteri, air tangan ibu itulah pengukuh keluarga’.
Tapi ini tidak bermakna, lelaki tidak perlu pandai memasak, menyiang ikan. Abah aku gandingan hebat tatkala bersama mama di dapur. Tetapi jika dibiar abah memasak sendiri, dapur dari hujung ke hujung perlu dikemaskan. Aku bahagia melihatkan keletah kedua orang tua aku setiap kali pulang dari pasar borong. Sama-sama duduk di luar dapur, menyiang ikan, memotong ayam sebelum dibersihkan dan disimpan ke dalam peti sejuk. Romantik.
Jika hanya aku seorang berada dirumah. Ketika itulah aku semakin ligat memasak. Ada sahaja idea baru yang hendak aku cuba. Ada kala boleh tahan, ada kala rasanya.. errr ditambah dengan sedikit kicap telankan sahaja. Kini, sejak hidup sendiri aku bebas memasak dengan cara aku sendiri, kerana aku suka mengubah itu dan ini. Terima kasih kepada teman seblok yang sudi menjadi kambing hitam mencuba resipi aku yang kadang-kadang asing di tenggorok kamu. Kalian memang yang terbaik.
Tetapi jika dirumah, pergerakan aku di dapur agak terbatas. Hal ini adalah kerana, akan ada sahaja yang mama hendak betulkan, disamping aku yang masih pening-pening mengenal pasti letak duduknya bahan masak. Aku mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk membetulkan rentak agar seiring dengan kehendak mama dan mengingat kedudukan segala jenis bahan dan rempah. Jika dikampung lagi canggung aku dibuatnya. Pernah sekali aku diketuk tangan kerana posisi tangan aku memerah santan tidak manis dipandang. Erkk.. aku mencari anak mata mama dan mama sekadar tertawa. Mak cik aku pula membebel.
‘Inilah dia anak dara sekarang, memasak hentam keromo sahaja, dah tak diikut lagi sopan santun adabnya dalam memasak’.
Aduh memasak juga banyak adab dan pantang larangnya. Jika masak ini, bawangnya perlu dipotong begini. Jika memasak ini, begini pula caranya. Sesudah masak, periuk letaknya tidak boleh di atas lantai simen, nanti basi pula lauknya. Jika ada yang memasak dengan aku, tersalah cara potongan bawang, mahu bulat mata aku merenung dia. Hehee.. Ini belum dikira dalam kategori masakan sensitif sperti kek dan muffin. Lebih banyak syarat dan terma yang perlu diikut, jika tidak, kek yang dinanti pasti ada sahaja cacat celanya.
Setiap kali jika aku ditugaskan untuk memasak bagi majlis-majlis tertentu. Aku pastinya tidak lalu menelan masakan sendiri. Tetapi kepuasan itu hadir melihat muka-muka yang puas memakan masakan aku. Satu kepuasan yang tidak dapat aku gambarkan. Aku seolah-olah kenyang melihatkan muka-muka mereka yang makan.
Harapan aku, sekiranya aku sudah mampu memiliki rumah sendiri. Akan aku bina perpustakaan didalamnya, dan dapur aku luasnya mesti lebih dari kamar tidur aku sendiri.
Indahnya angan-angan.