2009/05/04

Curhat Mei

Mama,

Bulan Mei menjelang lagi, tapi bulan Mei kali ini tidak  sama seperti Mei yang lepas-lepas.  Mei kali ini kaklong jauh di bumi  Russia. Kaklong tahu dan masih ingat, mama sangat sukakan bulan Mei. Setiap kali Mei menjelang kaklong dan adik-adik pasti akan mengadakan kejutan buat mama, walaupun acik selalu bocorkan rahsia di saat-saat akhir.

Tapi tahun ini, kaklong hanya mampu telefon dari jauh, sayu kaklong mendengarkan suara mama yang tersekat-sekat menahan sebak  mengucapkan terima kasih. Tapikan mama.., mama tidak sepatutnyamengucapkan  terima kasih. Kaklong yang sebetulnya perlu mengucapkan terima kasih kepada mama. Tetapi sekadar ucapan terima kasih yang lahir dari dua ulas bibir tidak terbanding dengan apa yang telah mama lakukan untuk kaklong dan adik-adik, kerana mama bukan sahaja ibu malah mama juga guru. Mama adalah segalanya-galanya untuk kami.

Mama…

Ingat tidak betapa nakalnya kaklong dulu. Kaklong pernah main gincu mama, berkarya di cermin solek mama. Kaklong tulis, “kaklong sayang mama”. Hurmm kaklong masih ingat wajah mama yang marah sangat ketika itu. Hati mama kian panas melihatkan gincu baru patah dibuat menulis meconteng cermin. Kaklong pula tak faham kenapa mama marah-marah, walhal kaklong sekadar menulis ‘kaklong sayang mama‘, itu sahaja.. oh dengan ada sedikit gambar bunga dan orang lidi di bawahnya.

Mama…

Ingat tidak waktu kaklong mula-mula baru masuk sekolah dahulu. Mama mengajar dan kaklong belajar di sekolah yang sama. Setiap kali mama melintasi kelas kaklong mesti kaklong akan jeritkan memanggil mama.‘Mama.., mama tak bagi duit belanja lagi’.

Kemudian mama mesti berkata,‘Ini sekolah jangan panggil mama, tapi cikgu’.Mendengarkan itu, lantas kaklong berkata,‘Cikgu, saya nak duit belanja, mama saya tak bagi lagi’.Bila mama ceritakan pada abah, abah ketawa tak henti-henti.

Hurmm… sewaktu kaklong di darjah tiga, mama menjadi guru kelas kaklong. Mama mengajar subjek Bahasa Melayu, Matematik  dan Kajian Tempatan. Mama seorang guru yang sungguh tegas dan garang sekali. Pernah sekali kaklong tidak buat kerja sekolah Matematik yang mama cikgu suruh buat. Mama marah sangat, lantas menyuruh kaklong keluar dari kelas, didenda membuat kerja matematik di luar kelas sambil berdiri bersama dengan  seorang lagi  budak lelaki.

Dua tahun lepas semasa pendaftaran di kolej, kaklong bertemu semula dengan seorang kawan kaklong.  Mama tahu apa yang ditanyakan oleh dia?.  Dia bertanya, ‘apa khabar cikgu Rohana, garang lagi ke?. Garang mak kau tu, ingat tidak kita pernah sama-sama  didenda buat kerja rumah di luar kelas…..”. Kami berdua katawa je mama… tapi, nakal-nakal kami masing-masing sedang mengejar cita-cita di menara gading kini.

Kalau difikir-fikirkan semula nakal betul kaklong rupanya, setiap kali pulang dari sekolah, tidak sempat sampai ke rumah pasti ada saja aduan guru-guru lain tentang kaklong. “Kak Na, ni anak kak Na ni tertinggal buku, kak Na ni anak kak Na main dalam kelas, kak Na ni anak kak Na tak siap kerja sekolah”. Hai… banyak betul aduan menyinggah telinga. Siapa kata menjadi anak cikgu senang. Prestasi dan perangai perlu dijaga. Tapi kan mama, kaklong betul-betul bangga jadi anak mama, kerana mamalah kaklong adalah apa yang kaklong ada sekarang.

Betapa rindunya kaklong pada mama, hanya Allah sahaja yang tahu. Betapa kaklong dambakan dakapan hangat mama ketika kaklong hampir berputus asa, betapa kaklong terkenang senyuman dan tawa mama tatkala kita bergurau senda. Syukur kaklong pada Allah kerana masih di beri kesempatan untuk menjalankan tanggungjawab kaklong sebagai anak kerana tidak akan sekali terbalas jutaan sedutan nafas mama ketika mengandungkan kaklong selama sembilan bulan. Setiap titisan air susu mama untuk menghilangkan dahaga dan setiap kudrat yang mama gunakan untuk membesarkan kaklong.

Mama selamat hari ibu, selamat hari guru, kerana kau insan teristimewa.

Kaklong.

* Curhat ini aku garapkan buat pertama kalinya pada Mei 2007 untuk keluaran As-Shams, sewaktu aku di tahun satu pengajian. Edisi dikali ini, telah aku perbaiki  sedikit memandangkan di waktu itu, aku baru berkecimpung didalam bidang penulisan. Namun tidak banyak aku ubahkan, agar kerinduan aku diwaktu itu dapat aku rasai hingga kini setelah tiga tahun lamanya curhat ini ditulis.

2009/03/29

seperti sengetnya ketam

Wanita lahirnya sehinggalah ke hembusan terakhirnya, tidak sekali Allah biarkan dia keseorangan menjalani hidup ini. Akan sahaja ada lelaki yang akan memimpinnya,membelanya, memberi jaminan keamanan kepadanya.

Lahirnya seorang wanita, ayahnya akan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Matinya seorang ayah tanggungjawab itu akan beralih kepada datuknya, bapa saudaranya, malah saudara lelakinya.

Setelah wanita itu berkahwin, suaminya akan dipertanggungjawabkan. Namun apabila mati suaminya. Maka si anak lelaki yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya.

Namun, apabila lelaki itu senget meniti jalan. Perempuan yang dipimpinnya turut senget meniti jalan.

p/s: aku hairan sebenarnya, apa akhbar di Malaysia tiada isu yang lebih baik untuk disebarkan kepada masyarakat? Mengapa perlu diapikan kemarahan bapa yang tidak bertanggungjawab? Sedangkan niat sang guru, sekadar menjaga maruah anak gadisnya daripada di jaja ke seluruh pelusuk masyarakat.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Mutakhir/20090327173747/Article/index_html

2009/03/22

Kelkatu itu aku

Setiap kali persoalan cinta diajukan kepada aku. Aku sering kali kehilangan kata. Fikiranku akan menerawang mencari jawapan terbaik untuk aku persembahkan. Jawapan aku? Sudah pastinya dari pengalaman yang aku kutip dari teman-teman, kerana aku sendiri tidak pernah mengalaminya.

Jatuh cinta? Pastinya aku berkali-kali jatuh cinta. Dari sekecil-kecil umur aku 12 tahun, sehinggalah aku kini 21 tahun. Tapi bercinta tidak sekali.

Semakin aku meningkat dewasa, aku semakin yakin. Cinta bukan barang mainan, yang kau boleh suka-suka mainkan tatkala kau inginkan, sekiranya engkau sudah bosan, engkau boleh letakkannya di sudut bilik tanpa berfikir panjang.

Cinta itu bukan untuk dipupuk melebihi rasa cinta pada-Nya. Cinta itu bukan untuk kau cuba-cuba seperi mana kau mencari sepasang baju yang boleh bertukar ganti. Cinta itu perlu dilakar hingga membentuk bahagia dipintu syurga. Aku pernah terbaca di satu artikel, cinta yang di bina bukan atas paksi takwa, akhirnya menjadi musuh di Padang Mahsyar.

Aku sesungguhnya mengharapkan cinta yang akan setia hingga ke sana. Mengharap cinta yang berpupuk dari sebuah gerbang perkahwinan. Cinta yang tidak akan lesu daripada tanggungjawab. Cinta yang tak akan pudar bersama usia. Cinta dibina dari Rahmah Tuhanku, Pencipta seluruh alam.

Pernah sekali, aku jatuh cinta. Buat pertama kalinya aku mengalami perasaan yang sungguh mendalam sebegitu rupa. Melihatnya sahaja cukup membuatkan aku resah. Tetapi aku akhirnya kecewa sendiri. Terasa remuk segala porta hepar.

Namun, aku diketemukan dengan cintaNya. Aku mendapat peringatan daripadaNya, bahawa cinta manusia itu tidak setanding dengan cinta dariNya. Allah juga mengingatkan aku, tentang cinta  kedua ibubapaku. Aku masih ingat diwaktu itu. Tatkala aku terasa luluh segala urat tubuh, tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Lembut suara mama menyapa gegendang telingaku. Meluahkan rasa khuatirnya, yang datang dari mana.

Aku menyambut riang suara mama. Menyembunyi isi hati yang menahan sendu. Ahh.. aku terpukul lagi. Terlupa aku, biar seluruh dunia menghenyakkan aku ke dalam gaung sekali pun. Mama dan abah akan selalu dan terus menghulurkan tangan untuk aku.

Aku bukan serik untuk mencari cinta. Hati yang separuh ini perlu dilengkapkan, agar iman ini akan sempurna. Aku sedang membina semula kekuatan, agar aku bertabah untuk mencubanya sekali lagi.

Aku tidak mengharapkan hebatnya putera raja. Cukup sekadar hati ini bahagia melihat senyumannya. Aku tidak mengharap kaliber seorang jeneral. Cukup sekadar dia yang mampu memimpin aku ke lurusnya jalan. Aku tidak mengharapkan mewahnya banglo. Cukup sekadar sebuah daerah sunyi khas buat aku.

Kerana aku, adalah seperti kelkatu. Kelkatu yang tidak pernah kenal erti serik akan lampu yang memungkinkan sayapnya terbakar berkali-kali.

Begitu juga fitrahnya aku, yang tidak mungkin menolak cinta.

Kecamukan sang kelkatu.

2009/03/16

ke mana mudiknya?

Aku kebingungan, tangan teringin benar berlari di atas papan kekunci. Mencoret rasa segalanya yang terbuku dihati. Namun, segala yang ingin aku cuba kongsikan, sekadar mati di tengah jalan. Terdetik bibit malu, bisa merona wajahku barangkali jika aku kongsikan bersama kalian.

Mungkin kita tak pernah kenal, mungkin takkan sekali pernah bertemu. Andai berselisih ditepi jalan, mungkin sahaja takkan ada yang tahu. Hal ini adalah kerana perhubungan kita terbatas dalam ruang kecil dihadapan komputer masing-masing.

Aku sedang mencari arah Mutiara Hitam. Kemana harus aku kemudikannya? Ke hulukah atau ke hilirkah? Yalah bak kata orang tua-tua, ” ke mudik tentu hulunya, ke hilir tentu muaranya”. Jangan sampai Mutiara Hitam karamnya takkan timbul-timbul lagi.

Mencari identiti dalam arena penulisan, sama sekali tidak mudah. Sementelahan, kini blog tumbuhnya seperti cendawan selepas hujan dan pastinya aku bukan si hebat pendekar pena.

Sekadar berkongsi buah pena, menambah perisa perjalanan hidup kalian di hari ini.

2009/03/13

hati tak seindah busana

Kelana ini belum selesai,

Masih aku kembara,

Mencari diri mengenal tuhan,

Jelajah aku mencari teman,

Agar sesat tidak sekali,

Jauh sungguh jalan ini,

Seribu wajah aku kenali,

Seribu hati takkan sekali dapatku selami,

Kadang-kadang aku meronta sendiri,

Mengapa mata bisa tertipu,

Menghakimi manusia pada luarannya,

Indahnya busana,

Bukan gambaran empunya hati.

13 Mac 2006

Nizhniy.Ru

2009/03/10

notis pemiutang

Resah seorang penghutang… pernah kamu rasai?

Hutang yang tidak dibayar memang  melemaskan, jika gagal menjaga amanah barang yang dipinjam resahnya hadir berganda.

Tetapi, tatkala pemiutang bermurah hati, memberi peluang menambah tempoh. Tenangya hati seluas hamparan lautan dunia.

Tapi…

Bagaimana bila Allah menuntut segalanya yang telah Dia pinjamkan:

Keluarga

Harta

Darjat

Jasad

malah hirupan nafas…

Bersediakah kita memulangkannya satu demi satu?

Adakah kita memulangkan amanahnya sebaiknya? Tanpa cela yang melata?

Aku.. aku sendiri gerun memikirkannya.. dan aku sendiri merasai resahnya. Gelora resahku, kini tenang kembali namun kocakannya masih bersisa.

Benar.. benar sekali kata-kata orang sebelum ini. Tatkala ketakutan menguasai diri. Segala memori bermain di layar mata. Segala ungkap janji mula terngiang di lubang telinga. Segala buruk laku merenggot jiwa. Kenangan demi kenangan hadirnya meruntun jiwa. Titis air mata mengalir tak kenal henti. Mulut mula berkumat-kamit mengungkap maaf, mengungkap janji baru dek sesal datang menggulung. Malah hati turut tersedu-sedu mengiyakan janji. Menagih peluang menggantung harap, agar sesal tidak lagi bertandang.

Kerdilnya hambaMu Ya Tuhan, tatkala masa dan jarak menjadi ujianMu.

Ya Tuhan, terima kasih kerana peluang masih ingin kau beri kepadaku. Masih aku punya peluang untuk  mencium tangannya, mendengarkan  nasihatnya, menerima tegurannya. Terima kasih Tuhan kerana masih mengizinkan aku  mencurah bakti di sisa umurnya, mengotakan segala janjiku padanya. Terima kasih Tuhan kerana masih membenarkan aku untuk memohon ampun dosaku padanya, menghargai masin keringatnya yang tidak jemu membesarkan aku. Ya Tuhan.. semoga Kau mengizinkannya untuk menyerahkan aku kepada yang hak  dari tangannya sendiri.

Terima kasih Tuhan, untuk notis peringatan ini.

2009/02/22

ayam terbang

Jam menunjukkan lewat 7 pagi. Aku melangkah tenang menuju ke dapur.  Pagi Ahad  ini masih sunyi. Sambil tangan memeluk besen berisi bawang dan halia, aku menyanyi kecil sendirian. Menyambut dinginnya pagi.

Aku meletakkan periuk berisi air di atas dapur, memasukkan segala bawang dan halia yang aku bawa sebentar tadi. Bersedia untuk merebus ayam buat juadah nasi ayam setelah tamat program Interaksi dengan Al-Quran nanti (aku lebih gemar nama yang lagi satu itu, Surat Cinta Dari-Nya, tetapi timbul spekulasi pula ;) ).

Aku bergerak menuju ke besen ayam yang telah aku tinggalkan di dapur pada pukul dua pagi tadi. Alangkah terkejutnya aku, lebih daripada 70 ketul ayam hilang, yang tinggal hanyalah seketul kepak yang diletakkan betul-betul di tangah besen. Jantung aku seperti terhenti seketika. Aku terkesima.

Tanpa sebarang kata, aku berlari menuju ke bilik. Lantas aku menjerit, “Rosya ayam hilang!!!”. Rosya yang mendengarkan itu, terus menghentikan tangannya yang sibuk mengopek bawang , mulutnya ternganga luas. Aku kira boleh menghapuskan hayat seekor lalat. Aku terus terduduk kebingungan di depan pintu bilik. Satu perkara yang tidak pernah terjadi sepanjang aku memasak untuk program.  Walau apa sahaja barangan memasak yang aku tinggalkan di dapur, baik lauk atau segala rempah ratus, tidak pernah sesekali di usik. Nampak gaya dapur tingkat aku bukan lagi zon selamat.

Aku terus termanggu sambil menyumpah-nyumpah si pencuri akan bertukar menjadi katak malam ini, sambil Rosya mengharap si pencuri akan dimasukkan ke Infectious Hospital akibat memakan ayam curi.

Namun Alhamdulillah ayam yang hilang berjaya diganti dengan pantas oleh tauke ayam biro ekonomi yang bersedia berkhidmat ‘on-call’. Terima kasih juga kepada Abang Jamz yang sudi menjadi pos laju menghantar ayam dengan segera daripada hostel tiga ke hostel satu. Terima kasih juga kepada pemotong-pemotong ayam bidan terjun, terutamaya Cik Zahidah kita. Lebih-lebih lagi lena tidurnya diganggu oleh suara aku yang hampir histeria dengan kehilangan ayam.

Alhamdulillah, proses memasak tetap berjalan lancar, dan sempat siap sebelum peserta program usai solat Zohor berjemaah. Terima kasih kepada Kak Aida, Rosya, Farah dan Farah kerana dengan kerjasama anda kita telah berjaya menyiapkan misi Nasi Ayam Hainan kita tepat pada masanya. Owh.. tidak lupa kepada pembancuh-pembancuh air bandung terhebat Roneza, Amira dan Liyana, sesungguhnya kehadiran anda tepat pada waktunya, kerna kami sememangnya tidak menang tangan di waktu itu.

Huh.. kepada pencuri ayam… aku kirim salam banyak-banyak kepada kamu.

2009/02/22

jasad yang tertinggal

Aku kini sedang menjalani ‘cycle’ untuk subjek ‘operative surgery’ , dan pada Hari Jumaat yang lepas aku berpeluang untuk menjalankan sesi praktikal di sebuah rumah mayat yang terletak tidak jauh dari kelas dan hostel tempat tinggalku. Owh ya, guruku untuk  subjek kali ini ialah  Dr. Alejandro Garcia Bulanov (baca  alehandro). Gayanya menghunus skalpel pembedahan tak ubah seperti menhunus pedang samurai.

Di awal permulaan ‘cycle’, bermacam perkara yang bermain di pemikiran aku. Mengenang kembali sisa-sisa ilmu anatomi yang masih melekat di celah sepahan kotak memori. Mengetuk-ngetuk hati, menanyakan kemampuan diri aku untuk berhadapan dengan mayat segar, melakukan insisi dan pembedahan kecil yang mungkin berpancutan darahnya. Mungkin yang paling penting apakah hidungku mampu bertahan menghidu segala bau yang hadir dari batang tubuh yang kaku?

Sebaik sahaja kaki aku melangkah ke rumah mayat (idaman sejak berzaman untuk menjejak kaki ke sini), bau hanyir segera menerobos masuk ke dalam kembang kempisnya hidung bernafas.  Satu bau yang cukup aku kenal, baunya tidak ubah seperti bau pasar ayam dan daging. Aku menarik nafas lega. Syukur aku tidak berasa loya.

Kali pertama masuk ke ruangan bedah forensik, tiba-tiba aku dapat merasakan rentak jantungku berubah nada. Kian laju, bertambah rancak. Melihatkan keadaan mayat yang terbuka isi perutnya, menyebabkan aku tidak dapat mengalihkan pandanganku, walhal kaki tetap melangkah laju menuruti teman sekelas yang sama  mengikut Dr.Alejandro. Sebaik sahaja aku mengalihkan pandangan ke depan, zuppp… seperti mahu gugur jantungku di waktu itu. Aku hampir tersepak mayat seorang wanita yang dibiarkan terbaring di atas lantai begitu sahaja. Tanpa alas yang melapikinya, tanpa kain yang menutupi jasadnya.

Hiba hinggap di pundak, hati berkecamukan.  Betapa manusia telah hilang harganya tatkala roh pergi meninggalkan jasad. Tiada lagi herdik marah jika tempat penbaringan tidak seempuk tilam dirumah, tiada lagi jerit malu menarik sehelai kain menutup batang tubuh yang terdedah. Kaku, tidak lagi mampu. Bagai bangkai di tepi jalan.

Akhirnya, kami tiba di ‘katil’  hujung sekali. Diatasnya, terbaring mayat seorang lelaki. Aku kira umurnya pertengahan 40-an. Dr.Alejandro tanpa membuang masa, menerangkan bahagian tubuh yang perlu kami lakukan pembedahan kecil ke atasnya. Kami diminta memulakan dengan mengenal pasti bahagian dengan jelas sebelum insisi dilakukan. Setiap seorang daripada kami, diminta untuk melakukan ‘palpation’ di bahagian paha untuk mengenal pasti kedudukan ligamen inguinal.

Dup..dup.. jantungku berdenyut deras. Sebaik sahaja aku tangan aku menyentuh kulitnya. Sejuk, seperti ais.  Lantas aku teringat akan arwah nenek saudaraku yang amat ku sayangi. Perasaan sejuk yang sama aku rasakan tatkala bibir aku mengucup pipinya buat yang terakhir kali. Sambil menahan henjut tangis, bimbang air mata menitik dipipinya yang cengkung. Entah mengapa, tiba-tiba  aku seperti terbau-bau wangian kemenyan dan kapur barus. Semoga Allah merahmati mu.

Dr. Alejandro terus menerangkan tugas yang perlu kami lakukan. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan kononya akan diketuai oleh seorang ketua bedah, seorang pembantu dan seorang jururawat pembedahan. Kami bersepakat untuk bergilir-gilir mengambil tempat masing-masing, agar setiap orang berpeluang melakukan pembedahan dan bukan sekadar menyediakan benang dan jarum.

Setelah kelas tamat, aku buru-buru pulang ke hostel untuk membersihkan diri. Membersihkan diri daripada bau hanyir mayat yang pekat meresap ke dalam pakaian. Namun,  ‘mati’ menghantui aku. Aku berasa gerun tiba-tiba.

Bagaimanakah keadaan aku, tatkala mati menjemputku? Adakah dengan senyum aku menantinya datang? Atau dengan penuh paksa aku ditarik pergi?

Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan yang Kau redhai. Amin.

2009/02/14

betul kita salah

Setiap hari yang kita lewati, tak akan sekali sunyi dari membuat sebarang keputusan dan pertimbangan.  Tidak salah sekiranya diklasifikasikan sebagai beban tanpa sedar, dan beban itu hanya disedari sekiranya keputusan yang perlu dibuat itu benar-benar menggundahkan benak dan pundaknya hati.

Setiap hari juga, tak akan pernah dapat kita elakkan daripada dua perkataan ini, iaitu betul dan salah.  Setiap perbuatan malah perkataan yang ingin dituturkan perlu ditapis dan mendapat kelulusan daripada pertimbangan akal dan hati agar ianya menepati piawaian standard penghidupan manusia yang telah ditetapkan Allah s.w.t.  Agar tiada sesalan yang akan diheret tatkala menuju meja penghakiman mutlak kelak.

Mengjustifikasikan satu-satu perbuatan itu sebagai betul atau salah secara total, sememangya memeningkan malah boleh menggerunkan hati . Lebih-lebih lagi tatkala suara-suara hati bertingkah menghakimi betul salahnya perbuatan kita.

Pastinya justifikasi betul atau salahnya sesuatu perkara tidak semudah seperti menentukan betul salahnya jawapan soalan Matematik Tambahan. Walaupun jawapan yang ditulis sahih salah, tetapi dengan jalan kerja yang betul masih boleh menagih markah daripada  si pemeriksa.

Namun persoalan hidup tidak sesekali semudah itu. Apabila usia kian menginjak dari tahun ke tahun, beban tanggungjawab terhadap diri sendiri itu kian bertambah. Kesalahan yang kita lakukan tidak akan sekali boleh kita tudingkan jari pada orang lain.

Walau dari mana sekalipun asalnya kita. Walau dengan cara bagaimana kita dibesarkan sekali pun. Segenap tingkah laku yang kita pamerkan adalah dibawah kawalan akal kita sendiri. Walaupun ibubapa kita gagal melaksanakan tugas mendidik kita, tapi mengapa kita harus gagal dalam memilih jalan hidup kita sendiri. Mengapa kita harus gagal dalam pencarian nur kita sendiri.

Hal ini adalah kerana, diri kita merupakan tanggungjawab kita sendiri.

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

2009/01/15

Kecil. Kecil tidak sekali bererti tidak bermanfaat. Tidak sesekali tidak berguna. Hal kecil tetap tega merubah peristiwa bermakna.

Kadang-kadang kita terlupa dengan perkara-pekara kecil walhal perkara tersebut tetap menjadi hitungan  di hari pengadilan.

Hari ini aku diingatkan dengan kisah seekor burung. Masihkah kalian ingat perihal kegigihan seekor burung kecil yang cuba membantu Nabi Ibrahim a.s  sewaktu dibakar oleh Raja Namrud yang zalim?

Sewaktu api sedang marak cuba membakar Nabi Ibrahim. Berulang-alik burung kecil itu membawa air dengan paruh yang kecil.  Lalu dijirusnya ke atas api yang membakar itu. Perbuatannya itu ditegur oleh… errr maaf saya tidak ingat siapa, boleh sesiapa beritahu? ;) Katanya, ” berhentilah kamu dari melakukan perbuatan yang sia-sia itu, sampai bila-bila pun kamu tidak akan dapat memadamkan api itu”.

Burung kecil itu lantas menjawab, ” aku tidak mahu di hari akhirat kelak, apabila Allah bertanyakan kepada aku, apakah yang aku lakukan tatkala Nabi Ibrahim dibakar,  sedangkan aku tidak berbuat apa-apa”.

Sedangkan burung yang tidak akan diazab turut berusaha sehabis kudrat ada.

Bagaimana kita? Apa usaha yang kita lakukan untuk membantu saudara kita di Palestin yang nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk. Bukan hasil yang Allah mahukan, tetapi usaha kita yang akan diambil kira.

Berusahalah sebaik mungkin, kerana doa tetap senjata terhebat orang mukmin.