Mama,
Bulan Mei menjelang lagi, tapi bulan Mei kali ini tidak sama seperti Mei yang lepas-lepas. Mei kali ini kaklong jauh di bumi Russia. Kaklong tahu dan masih ingat, mama sangat sukakan bulan Mei. Setiap kali Mei menjelang kaklong dan adik-adik pasti akan mengadakan kejutan buat mama, walaupun acik selalu bocorkan rahsia di saat-saat akhir.
Tapi tahun ini, kaklong hanya mampu telefon dari jauh, sayu kaklong mendengarkan suara mama yang tersekat-sekat menahan sebak mengucapkan terima kasih. Tapikan mama.., mama tidak sepatutnyamengucapkan terima kasih. Kaklong yang sebetulnya perlu mengucapkan terima kasih kepada mama. Tetapi sekadar ucapan terima kasih yang lahir dari dua ulas bibir tidak terbanding dengan apa yang telah mama lakukan untuk kaklong dan adik-adik, kerana mama bukan sahaja ibu malah mama juga guru. Mama adalah segalanya-galanya untuk kami.
Mama…
Ingat tidak betapa nakalnya kaklong dulu. Kaklong pernah main gincu mama, berkarya di cermin solek mama. Kaklong tulis, “kaklong sayang mama”. Hurmm kaklong masih ingat wajah mama yang marah sangat ketika itu. Hati mama kian panas melihatkan gincu baru patah dibuat menulis meconteng cermin. Kaklong pula tak faham kenapa mama marah-marah, walhal kaklong sekadar menulis ‘kaklong sayang mama‘, itu sahaja.. oh dengan ada sedikit gambar bunga dan orang lidi di bawahnya.
Mama…
Ingat tidak waktu kaklong mula-mula baru masuk sekolah dahulu. Mama mengajar dan kaklong belajar di sekolah yang sama. Setiap kali mama melintasi kelas kaklong mesti kaklong akan jeritkan memanggil mama.‘Mama.., mama tak bagi duit belanja lagi’.
Kemudian mama mesti berkata,‘Ini sekolah jangan panggil mama, tapi cikgu’.Mendengarkan itu, lantas kaklong berkata,‘Cikgu, saya nak duit belanja, mama saya tak bagi lagi’.Bila mama ceritakan pada abah, abah ketawa tak henti-henti.
Hurmm… sewaktu kaklong di darjah tiga, mama menjadi guru kelas kaklong. Mama mengajar subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Kajian Tempatan. Mama seorang guru yang sungguh tegas dan garang sekali. Pernah sekali kaklong tidak buat kerja sekolah Matematik yang mama cikgu suruh buat. Mama marah sangat, lantas menyuruh kaklong keluar dari kelas, didenda membuat kerja matematik di luar kelas sambil berdiri bersama dengan seorang lagi budak lelaki.
Dua tahun lepas semasa pendaftaran di kolej, kaklong bertemu semula dengan seorang kawan kaklong. Mama tahu apa yang ditanyakan oleh dia?. Dia bertanya, ‘apa khabar cikgu Rohana, garang lagi ke?. Garang mak kau tu, ingat tidak kita pernah sama-sama didenda buat kerja rumah di luar kelas…..”. Kami berdua katawa je mama… tapi, nakal-nakal kami masing-masing sedang mengejar cita-cita di menara gading kini.
Kalau difikir-fikirkan semula nakal betul kaklong rupanya, setiap kali pulang dari sekolah, tidak sempat sampai ke rumah pasti ada saja aduan guru-guru lain tentang kaklong. “Kak Na, ni anak kak Na ni tertinggal buku, kak Na ni anak kak Na main dalam kelas, kak Na ni anak kak Na tak siap kerja sekolah”. Hai… banyak betul aduan menyinggah telinga. Siapa kata menjadi anak cikgu senang. Prestasi dan perangai perlu dijaga. Tapi kan mama, kaklong betul-betul bangga jadi anak mama, kerana mamalah kaklong adalah apa yang kaklong ada sekarang.
Betapa rindunya kaklong pada mama, hanya Allah sahaja yang tahu. Betapa kaklong dambakan dakapan hangat mama ketika kaklong hampir berputus asa, betapa kaklong terkenang senyuman dan tawa mama tatkala kita bergurau senda. Syukur kaklong pada Allah kerana masih di beri kesempatan untuk menjalankan tanggungjawab kaklong sebagai anak kerana tidak akan sekali terbalas jutaan sedutan nafas mama ketika mengandungkan kaklong selama sembilan bulan. Setiap titisan air susu mama untuk menghilangkan dahaga dan setiap kudrat yang mama gunakan untuk membesarkan kaklong.
Mama selamat hari ibu, selamat hari guru, kerana kau insan teristimewa.
Kaklong.
* Curhat ini aku garapkan buat pertama kalinya pada Mei 2007 untuk keluaran As-Shams, sewaktu aku di tahun satu pengajian. Edisi dikali ini, telah aku perbaiki sedikit memandangkan di waktu itu, aku baru berkecimpung didalam bidang penulisan. Namun tidak banyak aku ubahkan, agar kerinduan aku diwaktu itu dapat aku rasai hingga kini setelah tiga tahun lamanya curhat ini ditulis.
1 Komen
2009/05/05 at 11:37 am
Salam..sahabatku sueha..
suka sgat bca entry sueha yang ni..
p/s: kte sbgai anak mmg kna hargai ummi/ibu/mak/mama sebaik mugkin..terlalu BANYAK dan BESAR jasa seorang mereka..thanks sueha..