Setiap hari yang kita lewati, tak akan sekali sunyi dari membuat sebarang keputusan dan pertimbangan. Tidak salah sekiranya diklasifikasikan sebagai beban tanpa sedar, dan beban itu hanya disedari sekiranya keputusan yang perlu dibuat itu benar-benar menggundahkan benak dan pundaknya hati.
Setiap hari juga, tak akan pernah dapat kita elakkan daripada dua perkataan ini, iaitu betul dan salah. Setiap perbuatan malah perkataan yang ingin dituturkan perlu ditapis dan mendapat kelulusan daripada pertimbangan akal dan hati agar ianya menepati piawaian standard penghidupan manusia yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Agar tiada sesalan yang akan diheret tatkala menuju meja penghakiman mutlak kelak.
Mengjustifikasikan satu-satu perbuatan itu sebagai betul atau salah secara total, sememangya memeningkan malah boleh menggerunkan hati . Lebih-lebih lagi tatkala suara-suara hati bertingkah menghakimi betul salahnya perbuatan kita.
Pastinya justifikasi betul atau salahnya sesuatu perkara tidak semudah seperti menentukan betul salahnya jawapan soalan Matematik Tambahan. Walaupun jawapan yang ditulis sahih salah, tetapi dengan jalan kerja yang betul masih boleh menagih markah daripada si pemeriksa.
Namun persoalan hidup tidak sesekali semudah itu. Apabila usia kian menginjak dari tahun ke tahun, beban tanggungjawab terhadap diri sendiri itu kian bertambah. Kesalahan yang kita lakukan tidak akan sekali boleh kita tudingkan jari pada orang lain.
Walau dari mana sekalipun asalnya kita. Walau dengan cara bagaimana kita dibesarkan sekali pun. Segenap tingkah laku yang kita pamerkan adalah dibawah kawalan akal kita sendiri. Walaupun ibubapa kita gagal melaksanakan tugas mendidik kita, tapi mengapa kita harus gagal dalam memilih jalan hidup kita sendiri. Mengapa kita harus gagal dalam pencarian nur kita sendiri.
Hal ini adalah kerana, diri kita merupakan tanggungjawab kita sendiri.
Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
2 komen
2009/02/20 at 1:23 pm
Rupanya, banyak yang kita belajar dari kehidupan kan? Dari tak kenal apa itu salah, dan apa itu betul. Sekarang sudah pandai pula menyalahkan yang betul, atau membetulkan yang salah. Maknanya, ada lagi ruangan kosong di dada. Pengalaman juga yang dapat mengisinya.
2009/02/21 at 11:03 pm
konklusi yang cukup bernas.. =)