Kecil. Kecil tidak sekali bererti tidak bermanfaat. Tidak sesekali tidak berguna. Hal kecil tetap tega merubah peristiwa bermakna.
Kadang-kadang kita terlupa dengan perkara-pekara kecil walhal perkara tersebut tetap menjadi hitungan di hari pengadilan.
Hari ini aku diingatkan dengan kisah seekor burung. Masihkah kalian ingat perihal kegigihan seekor burung kecil yang cuba membantu Nabi Ibrahim a.s sewaktu dibakar oleh Raja Namrud yang zalim?
Sewaktu api sedang marak cuba membakar Nabi Ibrahim. Berulang-alik burung kecil itu membawa air dengan paruh yang kecil. Lalu dijirusnya ke atas api yang membakar itu. Perbuatannya itu ditegur oleh… errr maaf saya tidak ingat siapa, boleh sesiapa beritahu?
Katanya, ” berhentilah kamu dari melakukan perbuatan yang sia-sia itu, sampai bila-bila pun kamu tidak akan dapat memadamkan api itu”.
Burung kecil itu lantas menjawab, ” aku tidak mahu di hari akhirat kelak, apabila Allah bertanyakan kepada aku, apakah yang aku lakukan tatkala Nabi Ibrahim dibakar, sedangkan aku tidak berbuat apa-apa”.
Sedangkan burung yang tidak akan diazab turut berusaha sehabis kudrat ada.
Bagaimana kita? Apa usaha yang kita lakukan untuk membantu saudara kita di Palestin yang nyawanya bagaikan telur di hujung tanduk. Bukan hasil yang Allah mahukan, tetapi usaha kita yang akan diambil kira.
Berusahalah sebaik mungkin, kerana doa tetap senjata terhebat orang mukmin.