2008/12/02...9:13 pm

Doa Disember Ini…

Terus ke Komen

Dikali ini, Disember yang paling aku nantikan,  menghitung minggu membilang hari. Detik waktu kian laju berlari, meninggalkan aku yang terkapai mengejar segala masa yang tertinggal untuk aku sudahkan segalanya. Benar madahmu wahai Hassan Al-Banna, sesungguhnya tanggungjawab lebih banyak dari masa.

Aku cuba mencari sinarnya barakah masa anugerah Ar-Rahman. Agar masa aku diberkati, agar aku punya cukup masa melangsaikan segala tanggungjawab yang berantaian di bahu. Sebelum rantaian itu aku tanggalkan sebentar, memberi rehat kepada bahu yang keletihan.

Supaya ringan tubuh ini melangkah pulang. Menghirup nyamannya udara tanah halaman. Merawat hati ketandusan rindu. Menyubur jiwa yang kekeringan. Menompang semangat yang kerapuhan. Biarkan aku lari sebentar dari tanggungjawab dunia yang tak pernah kenal erti henti, biarkan aku pulang ke pangkuan ibu merebah kepala, seperti anak kecil pulang sekolah lagaknya.

Doa aku di Disember kali ini, agar  Allah  memudahkan perjalananku, agar aku gagah melalui saki-baki perjuangan di akhir semester ini. Sebelum mengorak langkah berani menempuh dugaan yang mendatang. 31 itu aku nanti. pulangnya sang sirih pada gagangnya.

Tinggalkan jawapan