2008/11/16...9:19 pm

bahuku untukmu

Terus ke Komen

biar sunyi jangan sepi dari kasih-Nya

biar sunyi jangan sepi dari kasih-Nya

Hati aku dipagut rasa sedih dan bersalah yang teramat sangat tatkala mataku tertancap pada mesej“offline” sahabat baikku yang sangat aku rindui. Biar aku kenalkan dia sebagai Cik Labu (aku sendiri tidak faham mengapa labu yang menjadi kegilaannya).Sudah hampir tiga tahun lamanya mata kami tidak bertentangan, selama itu jugalah bahu ini tidak berteman melihat indahnya bintang di langit.

Aku gelisah membaca mesejnya;

“tiba-tiba aku rindu kamu suha, aku telah melalui banyak perkara dan aku memerlukan bahumu”

Lantas tangan aku ligat menaip nombor Cik Labu, (aku menggunakan sistem panggilan semula mig33) sayangnya hari ini talian tidak jelas, akhirnya kami berkeputusan untuk berbicara tanpa suara, hanya papan kekunci komputer riba memecah sunyi ruang kamarku.

Aku risau sekali memikirkan Cik Labu, risau sekiranya pemergian arwah ibunya masih menjerut dirinya, Cik Labu merupakan orang yang palin rapat dengan arwah ibunya.

Setelah bertanya khabar dan melepaskan rindu yang sarat didada, aku mula mengorek hal yang berlaku. Satu-satu kerisauannya di luahkan, aku menjadi kian sayu, andai sahaja bahu ini bisa aku hulur padamu, menjadi rebah kepalamu tatkala masalah menghenyak pundakmu.

Aku kaget, tatkala Cik Labu berkongsi hal kesihatannya (menjadi adat pelajar perubatan taksub melakukan diagnos terhadap rakan-rakan mahupun diri sendiri, tidak terkecuali aku yang turut ligat memikirkan keadaan temanku ini), aduh.. risaunya bertambah dan wang mula menjadi soal. Setelah temanku melakukan ujian ultra bunyi, tiada sebarang anomali yang dapat dilihat. Namun doktor tidak berputus asa sebegitu mudah, kawan aku diminta menulis esei pula, merakam setiap perubahan yang dirasakannya. Aku teringat akan entri Sang Pelangi baru-baru ini yang berbicara tentang mahalnya harga sebuah ketakutan. Aku pasti beginilah perasaan temanku, sudahlah lena tidak lagi menemani tidur, wang pula mengalir keluar tidak toleh-toleh lagi.

Tidak banyak dapat aku katakan, melainkan perkataan sabar yang asyik aku taipkan berulang kali. Getap bibirku tak dapat dibuka mengenang Cik Labu yang dugaannya bertimpa-timpa. Moga kamu tabah wahai Cik Labu, Allah hanya akan menurunkan dugaan terhadap hamba-Nya sesuai dengan ketahanan diri hamba-Nya itu. Aku yakin kamu setabah itu.

Kami tanpa jemu meneruskan bicara sepi ini, memutar kembali memori sewaktu kami bersama(kami lima bersahabat, macam power rangers..hehe..), ahhh.. banyak sekali kenangan indah yang kami kongsikan bersama. Andai sahaja kami berlima dapat dikumpulkan sekali, pasti perjalanan sekarang tetap meriah indah seperti dahulu.

Entah bagaimana, Cik Labu membuat pengakuan yang membuatkan hati aku tersayat hiba, dia meluahkan kerinduannya terhadap ibunya. Sekali lagi aku terkedu di layar komputer. Bagaimana aku bisa memujuk kerinduan seorang anak terhadap ibunya???

“kau tahu, aku rasa pelik membeli barang keperluan seoarang diri, sebelum ini aku tak pernah pergi beli sendiri”

“Sewaktu aku berjumpa doktor, aku berharap tangan ibu aku yang menggenggam tanganku sambil berbisik”tiada apa-apa, jangan risau”

“bila aku malas kemas bilik, aku rindu bebelan ibuku menyuruh aku mengemas bilik”

Hati aku diketuk insaf lagi, kini wajah mama pula yang menghiasi genang mataku. Betapa Allah masih memberikan aku peluang untuk berbakti kepada insan yang paling banyak berjasa kepada aku.

Lama kami berbicara dengan lafaz salam kami berpisah dahulu setakat ini.

Hati aku kuat mengatkan bahawa Cik Labuku yang dahulunya manja, kini lebih matang dari yang dahulu, aku tahu tangannya kini tegap menggenggam tabah.

Hanya maaf dari kejauhan yang dapat aku sampaikan, kerana aku tidak mampu berada disampingmu mengahulurkan bahuku untuk kerehatan kepalamu yang sarat. Hanya doa dapat aku kirimkan buatmu, agar kekuatanmu bisa terjana kembali.

Namun, perbualan aku dan Cik Labu hari ini, banyak menginsafkan aku, agar aku menghargai masa, agar aku menghargai nilanya kesihatan dan wang, agar aku menghargai kedua orang tuaku, selagi punya waktu untuk berbakti. Mungkin Allah hantarkan kamu kepada aku hari ini, bukan sekadar untuk memimpinmu agar tabah berjalan, tetapi sebagai peringatan buat aku yang kekadang alpa dengan manisnya nikmat dunia.

p/s: Aku dan Cik Labu akrabnya seperti kepala dan bahu. Bahu aku sentiasa sedia menerima kepalanya, seperti bahunya sudi menerima kepalaku. Teringat pula kisah aku pitam(syncope) dibahunya akibat dehidrasi. Cik Labu sangka aku sengaja bermain-main. Tatkala bahunya memberat menanggung kepalaku, lantas disenggeng bahunya menjatuhkan kepalaku. Sudahnya aku tumbang seperti pokok yang ditebang menyembah bumi. Kecoh jadinya, dan kata maaf tidak henti keluar dari bibirmu. Hehee.. Cik Labu, sumpah aku tidak pernah marah pada kamu. Mana mungkin aku bisa marah pada bahu tempat kepalaku berehat.. :)

1 Komen


Tinggalkan jawapan