2009/06/18

mengukur langit

BERBAHAGIALAH ORANG YANG MENJADI TUAN KEPADA DIRINYA, MENJADI PEMANDU NAFSUNYA DAN MENJADI NAKHODA BAHTERA HIDUPNYA

mengukur langit

memasak kaki dibumi

menjunjung langit dunia

menghampar  segenap buana

menunduk hati alpa

memberi isyarat

jangan sekali mendabik dada

mengukur tinggi rendah

langit Tuhan

18 Jun 2009

Nihniy.Ru

2009/06/11

tenanglah hati

dentum sang  guruh

rakus mengigit pundak

kilat menyabung

garang merekah kalbu

hai hati tenanglah

agar kaki tidak sekali

culas dalam melangkah

perjuangan ini masih panjang

menuntut kudrat keringat

mendamba sabar tabah

janganlah hati berpatah arang

kerna janji Tuhanmu

tak pernah menipu

11 Jun 2009

Nizhniy.Ru


2009/06/06

kerana Jem dan Jamz

1) do you think you are hot?

-errrr.. hot enough i think regardless what others think he3…

2) upload your favourite picture.

dibirai tangga

3) why do you like this picture?

-  ~daydreaming~

4)when was the last time you ate pizza?

- hurmm last 3 months???

5) the last song you listen?

*malu* Niat Hati Tak Nak Berpisah-Arrow (okay LOL everybody)

6) what were you doing besides answering this question?

-path.physiologing

7) besides your own name, what would you like to be called?

- ha just ha.. (ada makcik aku yang panggil aku ‘aaa’ pun ada… layan suda)

8) Tag another 5 people

i dont want to tag anybody… coz i refuse to answer the following questions… huhuu… (malas actually)

9) who’s number 1? -

10) Does no.3 has any relationships with anyone? -

11) say something about no.5. -

12) how about no.2? -

13) what is your message for no.4? -

p/s: Jem, thanx to you too.. coz you are one of the good ears..

a.Jamz: sama-sama dan terima kasih jua atas kerjasama yang diberikan

2009/06/03

zikir senada fikir

Sekadar perkongsian kecil di hari ini. Ingin aku kongsikan nasihat yang aku terima dari Kakngah buat Kaklongnya yang berkecamukan.

Singkap tabir masa lampaumu

Syukurlah padaNya

Renung masa depanmu

Yakinilah Dia

Pandang  sekelilingmu

Percayalah Ar-Rab

Lihat kedalam dirimu

Kau kan ketemu Allah..

Resah susahku hilang tatkala aku menghadam kata-kata ini. Aku terlupa bahawa Allah tidak pernah membiarkan kita mengharung dunia ini sepi keseorangan. Tidak sekali.

Banyakkan zikir, lebihkan fikir.

*Sebenarnya, teks yang kakngah hantarkan adalah dalam bahasa inggeris, sengaja aku terjemahkan mengikut cita rasaku.

2009/05/29

harapanku buat kesatria

Dikala ini ada cemburu bertandang di hati, melihatkan penyertaan “Entri Terbaik Hari Bapa 2009″ kian bertambah. Hatiku menjerit-jerit memaksa jari untuk berlari di papan kekunci. Agar aku turut sama melakar kisah abah, kesatria pujaanku kini dan selamanya. Bukan nama dan hadiah yang aku kejarkan, tetapi ingin aku ceritakan tentang abah yang amatku sanjungi.

jika dulu Ultraman dan Sailormoon kesatria pujaan, kini abah.. dan hanya abahlah kesatria pujaanku

Kini ada perjuangan besar yang perlu aku langsaikan terlebih dahulu. Akan aku coretkan jua di sini nanti, biarpun tarikh tutup pertandingan itu berlalu.

Doakan aku agar kuat dan bertabah melalui perjuangan ini.

2009/05/22

mengertikan diam

Di kala ini

Aku merasakan

Payahnya melangkah tempang

Bila jantung berentak sumbang

Tatkala menyusur denai nyapang

Tak pernah sekali

Tenteram jiwa kecil ini

Direnggot keras oleh kamu

Meninggalkan aku asing

Berpaut  pada yang lurus

Pijar pelupukku

Menyaksi kebutaan

Menyembah nafsu

Menzalimi akal

Menyorakkan batil

Celakalah jiwa

Bila kau gulungkan segalanya

Di sejadah lusuh

Perlu untuk kau ertikan

Diam aku menelan makna

Mengiyakan lemah tipisnya

Lembaran imanku

Mengunci mulut menangisi hati

Harus kau ertikan

Menggauli kamu

Tak menjadikan aku sama

Kita tetap berbeda

Kerna aku masih perlu memilih

Berkelana mencari bekalan

Mengharap belas Tuhanku abadi

Gagal aku sebagai teman…

23 Mei 09

Nizhniy.Ru

2009/05/04

Curhat Mei

Mama,

Bulan Mei menjelang lagi, tapi bulan Mei kali ini tidak  sama seperti Mei yang lepas-lepas.  Mei kali ini kaklong jauh di bumi  Russia. Kaklong tahu dan masih ingat, mama sangat sukakan bulan Mei. Setiap kali Mei menjelang kaklong dan adik-adik pasti akan mengadakan kejutan buat mama, walaupun acik selalu bocorkan rahsia di saat-saat akhir.

Tapi tahun ini, kaklong hanya mampu telefon dari jauh, sayu kaklong mendengarkan suara mama yang tersekat-sekat menahan sebak  mengucapkan terima kasih. Tapikan mama.., mama tidak sepatutnyamengucapkan  terima kasih. Kaklong yang sebetulnya perlu mengucapkan terima kasih kepada mama. Tetapi sekadar ucapan terima kasih yang lahir dari dua ulas bibir tidak terbanding dengan apa yang telah mama lakukan untuk kaklong dan adik-adik, kerana mama bukan sahaja ibu malah mama juga guru. Mama adalah segalanya-galanya untuk kami.

Mama…

Ingat tidak betapa nakalnya kaklong dulu. Kaklong pernah main gincu mama, berkarya di cermin solek mama. Kaklong tulis, “kaklong sayang mama”. Hurmm kaklong masih ingat wajah mama yang marah sangat ketika itu. Hati mama kian panas melihatkan gincu baru patah dibuat menulis meconteng cermin. Kaklong pula tak faham kenapa mama marah-marah, walhal kaklong sekadar menulis ‘kaklong sayang mama‘, itu sahaja.. oh dengan ada sedikit gambar bunga dan orang lidi di bawahnya.

Mama…

Ingat tidak waktu kaklong mula-mula baru masuk sekolah dahulu. Mama mengajar dan kaklong belajar di sekolah yang sama. Setiap kali mama melintasi kelas kaklong mesti kaklong akan jeritkan memanggil mama.‘Mama.., mama tak bagi duit belanja lagi’.

Kemudian mama mesti berkata,‘Ini sekolah jangan panggil mama, tapi cikgu’.Mendengarkan itu, lantas kaklong berkata,‘Cikgu, saya nak duit belanja, mama saya tak bagi lagi’.Bila mama ceritakan pada abah, abah ketawa tak henti-henti.

Hurmm… sewaktu kaklong di darjah tiga, mama menjadi guru kelas kaklong. Mama mengajar subjek Bahasa Melayu, Matematik  dan Kajian Tempatan. Mama seorang guru yang sungguh tegas dan garang sekali. Pernah sekali kaklong tidak buat kerja sekolah Matematik yang mama cikgu suruh buat. Mama marah sangat, lantas menyuruh kaklong keluar dari kelas, didenda membuat kerja matematik di luar kelas sambil berdiri bersama dengan  seorang lagi  budak lelaki.

Dua tahun lepas semasa pendaftaran di kolej, kaklong bertemu semula dengan seorang kawan kaklong.  Mama tahu apa yang ditanyakan oleh dia?.  Dia bertanya, ‘apa khabar cikgu Rohana, garang lagi ke?. Garang mak kau tu, ingat tidak kita pernah sama-sama  didenda buat kerja rumah di luar kelas…..”. Kami berdua katawa je mama… tapi, nakal-nakal kami masing-masing sedang mengejar cita-cita di menara gading kini.

Kalau difikir-fikirkan semula nakal betul kaklong rupanya, setiap kali pulang dari sekolah, tidak sempat sampai ke rumah pasti ada saja aduan guru-guru lain tentang kaklong. “Kak Na, ni anak kak Na ni tertinggal buku, kak Na ni anak kak Na main dalam kelas, kak Na ni anak kak Na tak siap kerja sekolah”. Hai… banyak betul aduan menyinggah telinga. Siapa kata menjadi anak cikgu senang. Prestasi dan perangai perlu dijaga. Tapi kan mama, kaklong betul-betul bangga jadi anak mama, kerana mamalah kaklong adalah apa yang kaklong ada sekarang.

Betapa rindunya kaklong pada mama, hanya Allah sahaja yang tahu. Betapa kaklong dambakan dakapan hangat mama ketika kaklong hampir berputus asa, betapa kaklong terkenang senyuman dan tawa mama tatkala kita bergurau senda. Syukur kaklong pada Allah kerana masih di beri kesempatan untuk menjalankan tanggungjawab kaklong sebagai anak kerana tidak akan sekali terbalas jutaan sedutan nafas mama ketika mengandungkan kaklong selama sembilan bulan. Setiap titisan air susu mama untuk menghilangkan dahaga dan setiap kudrat yang mama gunakan untuk membesarkan kaklong.

Mama selamat hari ibu, selamat hari guru, kerana kau insan teristimewa.

Kaklong.

* Curhat ini aku garapkan buat pertama kalinya pada Mei 2007 untuk keluaran As-Shams, sewaktu aku di tahun satu pengajian. Edisi dikali ini, telah aku perbaiki  sedikit memandangkan di waktu itu, aku baru berkecimpung didalam bidang penulisan. Namun tidak banyak aku ubahkan, agar kerinduan aku diwaktu itu dapat aku rasai hingga kini setelah tiga tahun lamanya curhat ini ditulis.

2009/03/29

seperti sengetnya ketam

Wanita lahirnya sehinggalah ke hembusan terakhirnya, tidak sekali Allah biarkan dia keseorangan menjalani hidup ini. Akan sahaja ada lelaki yang akan memimpinnya,membelanya, memberi jaminan keamanan kepadanya.

Lahirnya seorang wanita, ayahnya akan dipertanggungjawabkan ke atasnya. Matinya seorang ayah tanggungjawab itu akan beralih kepada datuknya, bapa saudaranya, malah saudara lelakinya.

Setelah wanita itu berkahwin, suaminya akan dipertanggungjawabkan. Namun apabila mati suaminya. Maka si anak lelaki yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya.

Namun, apabila lelaki itu senget meniti jalan. Perempuan yang dipimpinnya turut senget meniti jalan.

p/s: aku hairan sebenarnya, apa akhbar di Malaysia tiada isu yang lebih baik untuk disebarkan kepada masyarakat? Mengapa perlu diapikan kemarahan bapa yang tidak bertanggungjawab? Sedangkan niat sang guru, sekadar menjaga maruah anak gadisnya daripada di jaja ke seluruh pelusuk masyarakat.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Mutakhir/20090327173747/Article/index_html

2009/03/22

Kelkatu itu aku

Setiap kali persoalan cinta diajukan kepada aku. Aku sering kali kehilangan kata. Fikiranku akan menerawang mencari jawapan terbaik untuk aku persembahkan. Jawapan aku? Sudah pastinya dari pengalaman yang aku kutip dari teman-teman, kerana aku sendiri tidak pernah mengalaminya.

Jatuh cinta? Pastinya aku berkali-kali jatuh cinta. Dari sekecil-kecil umur aku 12 tahun, sehinggalah aku kini 21 tahun. Tapi bercinta tidak sekali.

Semakin aku meningkat dewasa, aku semakin yakin. Cinta bukan barang mainan, yang kau boleh suka-suka mainkan tatkala kau inginkan, sekiranya engkau sudah bosan, engkau boleh letakkannya di sudut bilik tanpa berfikir panjang.

Cinta itu bukan untuk dipupuk melebihi rasa cinta pada-Nya. Cinta itu bukan untuk kau cuba-cuba seperi mana kau mencari sepasang baju yang boleh bertukar ganti. Cinta itu perlu dilakar hingga membentuk bahagia dipintu syurga. Aku pernah terbaca di satu artikel, cinta yang di bina bukan atas paksi takwa, akhirnya menjadi musuh di Padang Mahsyar.

Aku sesungguhnya mengharapkan cinta yang akan setia hingga ke sana. Mengharap cinta yang berpupuk dari sebuah gerbang perkahwinan. Cinta yang tidak akan lesu daripada tanggungjawab. Cinta yang tak akan pudar bersama usia. Cinta dibina dari Rahmah Tuhanku, Pencipta seluruh alam.

Pernah sekali, aku jatuh cinta. Buat pertama kalinya aku mengalami perasaan yang sungguh mendalam sebegitu rupa. Melihatnya sahaja cukup membuatkan aku resah. Tetapi aku akhirnya kecewa sendiri. Terasa remuk segala porta hepar.

Namun, aku diketemukan dengan cintaNya. Aku mendapat peringatan daripadaNya, bahawa cinta manusia itu tidak setanding dengan cinta dariNya. Allah juga mengingatkan aku, tentang cinta  kedua ibubapaku. Aku masih ingat diwaktu itu. Tatkala aku terasa luluh segala urat tubuh, tiba-tiba telefon bimbit aku berdering. Lembut suara mama menyapa gegendang telingaku. Meluahkan rasa khuatirnya, yang datang dari mana.

Aku menyambut riang suara mama. Menyembunyi isi hati yang menahan sendu. Ahh.. aku terpukul lagi. Terlupa aku, biar seluruh dunia menghenyakkan aku ke dalam gaung sekali pun. Mama dan abah akan selalu dan terus menghulurkan tangan untuk aku.

Aku bukan serik untuk mencari cinta. Hati yang separuh ini perlu dilengkapkan, agar iman ini akan sempurna. Aku sedang membina semula kekuatan, agar aku bertabah untuk mencubanya sekali lagi.

Aku tidak mengharapkan hebatnya putera raja. Cukup sekadar hati ini bahagia melihat senyumannya. Aku tidak mengharap kaliber seorang jeneral. Cukup sekadar dia yang mampu memimpin aku ke lurusnya jalan. Aku tidak mengharapkan mewahnya banglo. Cukup sekadar sebuah daerah sunyi khas buat aku.

Kerana aku, adalah seperti kelkatu. Kelkatu yang tidak pernah kenal erti serik akan lampu yang memungkinkan sayapnya terbakar berkali-kali.

Begitu juga fitrahnya aku, yang tidak mungkin menolak cinta.

Kecamukan sang kelkatu.

2009/03/16

ke mana mudiknya?

Aku kebingungan, tangan teringin benar berlari di atas papan kekunci. Mencoret rasa segalanya yang terbuku dihati. Namun, segala yang ingin aku cuba kongsikan, sekadar mati di tengah jalan. Terdetik bibit malu, bisa merona wajahku barangkali jika aku kongsikan bersama kalian.

Mungkin kita tak pernah kenal, mungkin takkan sekali pernah bertemu. Andai berselisih ditepi jalan, mungkin sahaja takkan ada yang tahu. Hal ini adalah kerana perhubungan kita terbatas dalam ruang kecil dihadapan komputer masing-masing.

Aku sedang mencari arah Mutiara Hitam. Kemana harus aku kemudikannya? Ke hulukah atau ke hilirkah? Yalah bak kata orang tua-tua, ” ke mudik tentu hulunya, ke hilir tentu muaranya”. Jangan sampai Mutiara Hitam karamnya takkan timbul-timbul lagi.

Mencari identiti dalam arena penulisan, sama sekali tidak mudah. Sementelahan, kini blog tumbuhnya seperti cendawan selepas hujan dan pastinya aku bukan si hebat pendekar pena.

Sekadar berkongsi buah pena, menambah perisa perjalanan hidup kalian di hari ini.